Keharmonian Negara


Saya Cinta MALAYSIA!


Minggu ini merupakan minggu terakhir saya menaik muat buah fikiran saya di laman web ini. Justeru, saya ingin berkongsi pemikiran saya terhadap keharmonian di negara tercinta kita, Malaysia. Sejak kebelakangan ini, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam isu keharmonian negara dan perpaduan antara masyarakat yang berbilang etnik. Selagi adanya masyarakat yang mementingkan dirinya dan rasis, sudah pasti amat susah untuk menyatukan anak watan negara ini. Maka, kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab haruslah mengambil prakarsa yang proaktif bagi mengekalkan keharmonian negara ini.

Langkah perdana bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlulah bermula daripada individu itu sendiri. Seseorang individu haruslah mengamalkan sikap tolak ansur dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Sikap tolak ansur amat penting dan hal ini perlu disedar oleh masyarakat kerana manusia bukan sempurna; kita semua telah melakukan kesilapan. Kita juga haruslah menghormati semua agama di negara yang berbilang kaum ini supaya tidak berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham.

Selain itu, setiap anak watan negara haruslah bersifat produktif bagi meningkatkan produktiviti negara serta memajukan negara. Rakyat yang rajin dan gigih bekerja dengan hati yang ikhlas bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara dan taraf hidup mereka. Di samping itu, penglibatan semua kaum dalam sesuatu aktiviti juga dapat memupuk perpaduan di kalangan masyarakat yang dapat mengekalkan keharmonian negara. Misalnya, apabila sesuatu aktiviti diadakan di sekolah ataupun kawasan perumahan haruslah melibatkan semua kaum. Hal ini kerana semasa menjalankan aktiviti masyarakat dapat membina hubungan silaturahim antara satu sama lain.

“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,”. Justeru, ayuhlah warga Malaysia kita menuju dan bergading bahu ke arah negara yang aman dan damai.       

Comments