Adat resam orang Melayu


Minggu ini, jom kita mengenali adat resam orang Melayu. Adat resam juga merupakan suatu bentuk warisan yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan adat resam mereka dan memeliharanya sehingga ke hari ini. 


Antara adat resam mereka, adat melawat dan mengunjung merupakan yang paling asas yang dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Apabila tiba di rumah yang dikunjungi pengunjung yang beragama Islam hendaklah memberikan salam dengan ucapan “Assalamualaikum”. Pengunjung hendaklah menanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam rumah orang Melayu. Secara tradisinya, tetamu dan tuan rumah duduk bersila di mana bagi orang lelaki duduknya bersilang kaki dan bagi orang perempuan bersimpuh.



Seterusnya, terdapat juga adat menyambut kelahiran dalam golongan masyarakat Melayu. Beberapa acara dan pantang larang terpaksa dilalui apabila seorang wanita didapati hamil. Secara umumnya, upacara tersebut diadakan bertujuan mendoakan kesihatan dan keselamatan bakal ibu dan janinnya selamat. Antara adat menyambut kelahiran yang diamalkan ialah menempah bidan, menjamah perut, melenggang perut, mandi melenggang perut, dan mengadap semangat. 


           Masyarakat Melayu juga telah melakukan sedikit sebanyak tentang pantang larang yang sepatutnya dipraktikkan oleh wanita yang hamil.Hal ini penting untuk keselamatan ibu dan bayi yang bakal lahir. Wanita hamil dilarang melihat dan mendengar benda yang negatif. Hal ini kerana benda yang menakutkan dikhuatiri anak yang bakal lahir nanti akan terkenan dan cacat. Wanita yang hamil juga dilarang ketawa, menghina dan mengejek orang kerana dikhuatiri sifat – sifat orang yang dihina itu akan dimiliki oleh anak yang bakal lahir.  Bidan akan mengerat tali pusat bayi menggunakan gunting yang telah ditawar terlebih dahulu supaya hilang bisanya. Bidan akan membuat tiga ikatan simpul mati di tali pusat untuk menyekat darah daripada mengalir keluar. Akhir sekali, adat menanam uri dan tembuni adalah menanam uri bersama asam, garam, jarum, buku dan pensil supaya anak rajin dan cerdik.


Comments