Seperti etnik lain, masyarakat India juga amat kaya dengan cirri-ciri kebudayaan dan adat resam yang dikekalkan sehingga ke hari ini. Adat kelahiran dalam kalangan masyarakat India diadakan dengan menganjurkan suatu majlis semasa wanita itu masih mengandung. Majlis ini dikenali sebagai Valaikaapu dan majlis ini diadakan semasa kandungan sulung wanita hamil itu menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil itu dipakaikan gelang baru sebagai lambang perlindungan bagi kandungan bayi. Setelah bayi dilahirkan, mantera Tuhan dibisik ke dalam telinganya sebelum bayi mendengar benda lain. Hal ini diamalkan untuk membawa rahmat kepada bayi. Madu dan minyak sapi akan disapu pada lidah bayi yang baru dilahirkan bagi melembutkan lidahnya dan memudahkan bayi bertutur.
Seterusnya adalah adat perkahwinan masyarakat India. Pertama sekali, terdapat adat merisik dimana bakal pengatin lelaki akan mengunjung ke rumah bakal pengatin perempuan. Jika kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat ikatan dengan bakal pengantin lelaki akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya, perkahwinan diadakan sebagai ikatan suci antara pasangan suami isteri hingga ke akhir hayat. Pengantin lelaki akan mengalungkan thali yang merupakan lambang suci perkahwinan. Setelah majlis perkahwinan, pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga tiga kali dan berkongsi minum susu bercampur dengan buah-buahan.
Masyarakat India mempercayai konsep lahir semula dan biasanya mayat akan dibakarkan dan dikebumikan. Upacara menanggalkan thali akan dilakukan bagi wanita yang suaminya telah meninggal dunia. Lagu-lagu suci dinyanyikan serta dimainkan sehingga ke tanah perkuburan agar roh si mati sentiasa tenang dan aman. Kollic chatti merupakan periuk tanah liat yang mengandungi api. Sebelum seseorang membawa kollic chatty itu haruslah mencukur rambut dan janggutnya. Hal ini menunjukkan bahawa mereka yang hidup bahagia seperti rambut yang baru tumbuh.
Comments
Post a Comment