Sukan sebagai Akar Perpaduan

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 merupakan satu tragedi yang tidak boleh dilupakan oleh setiap anak watan Malaysia. Terjadinya rusuhan kaum pada hari tersebut yang menjadi kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini telah meragut nyawa serta harta benda dan menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa 13 Mei ini telah memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya perpaduan antara kaum di negara ini.


Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perpaduan rakyat dimaksudkan sebagai rakyat berganding bahu untuk melakukan sesuatu dan sentiasa menyelesaikan masalah secara musyawarah. Malaysia merupakan sebuah negara yang aman damai walaupun rakyatnya berbilang kaum. Keharmonian dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan kerana adanya sifat toleransi antara kaum. Kesejahteraan dan keharmonian negara afdal supaya pihak kerajaan dapat merancang dan melaksanakan pembangunan negara dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa, sukan merupakan satu medium untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Seringkali ketika berlangsungnya temasya sukan yang besar, masing-masing sanggup bersengkang mata untuk menonton dan memberikan sokongan walaupun di depan televisyen ataupun kegemaran rakyat Malaysia di kedai makan. Baik sukan bola sepak Piala Dunia ataupun bola sepak liga Inggeris, lumba kereta F1, dan badminton; penyokongnya bukan sekadar di stadium atau litar perlawanan tetapi juga ditonton merata dunia. Sukan Olimpik juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila jaguh sukan negara turut bertanding.



Jaguh sukan negara kita seperti Datuk Lee Chong Wei yang telah dinobatkan sebagai Ikon Perpaduan merupakan satu contoh yang menunjukkan bahawa sukan dapat menyatukan rakyat Malaysia. Tamsilannya, semasa beliau mewakili negara di Sukan Olimpik 2016, seluruh rakyat Malaysia bersatu untuk menyokong beliau tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
Perpaduan di negara kita adalah kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia dan kita harus selalu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita.

Comments